About Me

My photo
SS3/98, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia

Persepsi pelajar terhadap aktiviti berkaitan kitarsemula di SMK Permata, Petaling Jaya, Selangor.

Siti Mazwin bt. Kamaruddin
Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM Shah Alam
Dept. Of Geography, University of Canterbury
Email: smk45@student.canterbury.ac.nz

Pengenalan
Kajian ini dijalankan bagi mendapatkan suatu gambaran terhadap perilaku pelajar peringkat menengah terhadap aktiviti kitarsemula. Seramai 47 pelajar yang berumur di antara 13-17 tahun dipilih secara rawak untuk mengisi borang kajiselidik pada bulan Ogos 2009. Soalan-soalan yang tertera di borang tersebut menjurus kepada persepsi mereka dan keprihatinan mereka terhadap aktiviti kitarsemula dan alam sekitar secara am. Respons pelajar diukur mengikut skala Likert (5 point Likert scale) dan telah dimasukkan ke dalam perisian Excel dan analisa frekuensi telah dijalankan.

Tabulasi data frekuensi:
a. Taburan jantina dan umur pelajar
Jadual Responden menunjukkan responden adalah terdiri daripada 43% pelajar perempuan dan 57% pelajar lelaki. Seramai 11 orang (23%) adalah pelajar perempuan berumur 13-15 tahun manakala 9 orang pelajar perempuan (19%) adalah berumur 16-17 tahun. Bakinya ialah responden eplajar lelaki berumur 13-15 tahun (23%) dan pelajar lelaki berumur 16-17 tahun (34%).

b. Taburan persepsi pelajar terhadap nilai sampah dan perilaku kitarsemula
Jadual Respons Pelajar (1) menunjukkan taburan persepsi pelajar terhadap nilai sampah yang menunjukkan bahawa majoriti (71%) bersetuju bahawa sampah ada nilainya. Walaupun ramai yang mengatakan demikian, hanya 31% pelajar atau 15 daripada jumlah 47 pelajar sahaja yang menyatakan bahawa mereka suka membawa barangan yang boleh dikitarsemula dari rumah ke sekolah.

c. Taburan keprihatinan terhadap kewujudan kelab berkaitan alam sekitar
Jadual Respons Pelajar (2) menunjukkan bahawa majoriti pelajar bersetuju bahawa kelab alam sekitar atau program melibatkan kitarsemula wujud di sekolah. Majoriti (90%) suka melibatkan diri dalam kelab berkaitan alam sekitar kerana berependapat ianya menyeronokkan dan suatu yang penting untuk diri mereka dan alam sekitar.
d. Taburan pandangan bahawa melibatkan diri dalam kelab alam sekitar menambahkan pengetahuan tantang alam sekitar

Jadual Respons Pelajar (3) menunjukkan bahawa pelajar yang suka melibatkan diri di dalam kelab alam sekitar atau kitarsemula berpandangan bahawa mereka dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka mengenai perlindungan alam sekitar melalui penglibatan dalam program atau kelab yang berkaitan.

Jadual Respons Pelajar (4) pula menunjukkan bahawa pelajar yang tidak terlibat dengan kelab alam sekitar atau kitarsemula juga prihatin terhadap perlunya menjaga alam sekitar. Usaha pihak guru dan sekolah dalam menjayakan aktiviti keprihatinan alam sekitar telah dapat memberi kesedaran kepada ramai pelajar. Sejumlah 72% pelajar yang mengisi borang kajiselidik mengatakan sedemikian.

e. Taburan berkenaan pandangan penglibatan individu dalam program komuniti alam sekitar
Jadual Respons Pelajar (5) menunjukkan bahawa majoriti pelajar yang menyertai kajian soal selidik ini (79%) bersetuju dengan cadangan bahawa jika ramai individu melibatkan diri dalam program komuniti alam sekitar, lebih ramai dapat berbincang mengenai isu dan langkah-langkah untuk pemeliharaan alam sekitar.

Walaubagaimanapun, kajian ini mendapati hampir 50% pelajar yang terlibat dalam kajian ini belum mula untuk mengitarsemula dan 68% tidak pula menggalakkan ahli keluarga mereka untuk mengitarsemula. Lihat Jadual respons pelajar (6),(7).


Perbincangan dan Kesimpulan
Berdasarkan respons yang diberikan melalui borang soal selidik, kajian ini mendapati secara keseluruhannnya, usaha pihak guru dan sekolah dalam menjayakan aktiviti keprihatinan alam sekitar telah memberi kesedaran kepada ramai pelajar tentang keprihatinan kepentingan menjaga alam sekitar. Majoriti pelajar responden juga berpandangan bahawa menyertai kelab alam sekitar adalah menyeronokkan dan ianya dapat menambahkan pengetahuan mereka berkenaan alam sekitar termasuk mempelajari langkah รข€“langkah pemeliharaan. Kebanyakan responden kajian bersetuju dengan cadangan bahawa jika ramai individu melibatkan diri dalam program komuniti alam sekitar, lebih ramai dapat berbincang mengenai isu dan langkah-langkah untuk pemeliharaan alam sekitar.

Walaubagaimanapun, dari segi perilaku kitarsemula khususnya, hanya 31% pelajar atau 15 daripada jumlah 47 pelajar sahaja yang menyatakan bahawa mereka suka membawa barangan yang boleh dikitarsemula dari rumah ke sekolah. 50% pelajar yang terlibat dalam kajian ini pula belum mula untuk mengitarsemula dan 68% tidak pula menggalakkan ahli keluarga mereka untuk mengitarsemula.
Justeru, penglibatan pelajar berkaitan perilaku kitarsemula yang menjadi antara aktiviti penting dalam pemeliharaan alam sekitar masih agak rendah. Para pelajar di dalam kajian ini seramai 80% juga berpandangan bahawa rakyat Malaysia amnya lebih suka menjual suratkhabar lama misalnya kepada pembeli barangan kitarsemula suratkhabar yang memberikan pulangan kewangan dan lebih memudahkan. Kajian ini mendapati ramai pelajar amat prihatin tentang alam sekitar dan dari penglibatan aktiviti bercirikan alam sekitar telah sedikit sebanyak meningkatkan pengetahuan mereka.

Walaubagaimanapun, menzahirkan pengetahuan ini dalam bentuk perbuatan perlu dipertingkatkan. Pelajar-pelajar mungkin dapat menggunakan ruang serta aktiviti sediada, dibantu dengan penglibatan ibu bapa, memikirkan strategi atau langkah-langkah yang lebih menyeronokkan untuk menggalakkan lebih perilaku ke arah pemeliharaan alam sekitar melalui aktiviti kitarsemula. Pencapaian aktiviti ini pula perlu diberi pengiktirafan oleh pihak sekolah misalnya kerana kajian lain telah mendapati bahawa aspek ini amat penting bagi para remaja.

Penglibatan dari pihak luar dengan pihak sekolah misalnya dengan pembeli barangan kitarsemula juga mungkin dapat membantu dari aspek pulangan ekonomi. Secara amnya, strategi yang dilaksanakan perlu mengambilkira pelbagai faktor yang melibatkan kehendak pelajar, guru sekolah dan pihak yang berkepentingan, aktiviti dan masa yang sesuai, penyediaan ruang atau infrastruktur yang diuruskan secara berterusan dan kefahaman yang khusus terhadap kepentingan perilaku itu sendiri.

Penghargaan:
Penulis ingin mengucapkan penghargaan kepada Pengetua SMK Sri Permata dan Pn. Chua S.G kerana bantuan mereka dalam kajian ini. Kajian ini merupakan sebahagian dari penyelidikan thesis yang sedang dijalankan. Kajian ini bersifat 'exploratory' dan memerlukan analisa yang lebih terperinci lagi.

SitiMazwin Kamaruddin
PhD Candidate
Dept.of Geography
University of Canterbury
Christchurch NZ

Rujukan:
Siti Mazwin Kamaruddin (2009), `Kajian eksplorasi: Persepsi pelajar berkaitan perilaku kitarsemula' , (Unpublished)

*Pn Chua - Siti Mazwin telah memohon kebenaran untuk menjalankan tinjauan ini. Pihak sekolah telah membenarkan beliau menjalankan tinjauan ini supaya dapat mengetahui persepsi pelajar mengenai pemuliharaan alam yang pertama kali dijalankan di Sri Permata. Pihak sekolah ingin mengucapkan terima kasih kepada Siti Mazwin atas bahan-bahan tinjauan yang dikongsikan bersama. Harapan pihak sekolah, dapatan ini akan membantu pihak sekolah menambahbaik program hijau yang akan dijalankan. Pihak sekolah juga mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada Siti dalam menyediakan tesis ini. :-)
Our Main Challenge: Saving Mother Earth Through Garbage Enzyme